Apa itu kereta sambung bayar?
Risiko dan pilihan anda
Sambung bayar berlaku apabila seseorang mengambil kereta dan meneruskan ansuran atas nama penjual tanpa pertukaran hak milik. Bayaran bulanan itu tidak menukar nama dalam perjanjian bank atau rekod JPJ.
Dalam panduan ini
Apa yang berlaku apabila kunci bertukar tangan?
Dalam video ini, Hakim mengambil kereta dan membayar ansuran setiap bulan. Kenny masih memegang tanggungjawab terhadap pembiayaan dan namanya kekal dalam rekod JPJ.
Apabila ejen menawarkan surat perjanjian, kedudukan mereka di sisi bank dan JPJ masih sama. Kenny, Hakim dan ejen ialah watak rekaan.
Risiko sambung bayar kereta
- Jika anda jual kereta sambung bayar. Jika pembeli berhenti membayar, bank akan menuntut ansuran tertunggak daripada anda kerana anda ialah penyewa yang dinamakan dalam perjanjian sewa beli. Saman berkaitan kenderaan juga mungkin sampai kepada anda selagi nama anda masih dalam rekod JPJ.
- Jika anda beli kereta sambung bayar. Walaupun anda membayar deposit dan ansuran, anda belum menjadi pemilik berdaftar. Jika kereta dicuri atau terlibat dalam kemalangan, semak dengan syarikat insurans siapa yang boleh membuat tuntutan dan bagaimana sebarang pampasan dibayar.
Rujuk panduan risiko sambung bayar KPDN dan AHPCM.
Adakah perjanjian sambung bayar kereta mencukupi?
Surat yang ditandatangani pembeli dan penjual tidak mengubah perjanjian sewa beli dengan bank atau rekod hak milik di JPJ. Laporan polis juga tidak menukar nama dalam rekod JPJ.
Akta Sewa Beli 1967 memperuntukkan proses penyerahan hak di bawah Seksyen 12. Jika anda mahu tahu sama ada pilihan itu tersedia, tanya bank yang membiayai kereta. Seksyen 38 pula meliputi penipuan atau cubaan menipu pemberi pembiayaan, termasuk melalui penjualan atau pelupusan kereta.
Boleh tukar nama jika kereta masih ada pinjaman?
Untuk jual beli biasa, penjual perlu menyelesaikan baki pembiayaan dan memastikan bank melepaskan tuntutan hak miliknya sebelum pertukaran hak milik. Jika pembeli memerlukan pembiayaan, pembeli boleh memohon pinjaman kereta atas namanya sendiri.
Semak baki pembiayaan penjual
Penjual minta jumlah penyelesaian daripada bank. Jika hasil jualan diperlukan untuk membayar baki itu, bincangkan cara penyelesaiannya dengan bank sebelum meneruskan jual beli.
Atur pembayaran dan pemeriksaan
Pembeli boleh membayar tunai atau memohon pinjaman bank. Bank menentukan kelulusan dan syaratnya. Semak juga pemeriksaan dan dokumen yang diperlukan.
Lengkapkan pertukaran hak milik
Selepas tuntutan bank selesai dan syarat dipenuhi, pembeli dan penjual lengkapkan pertukaran hak milik. Semak proses dan syarat JPJ.
Jika anda sudah bersetuju tentang kereta dan harga, Carzora boleh membantu pembeli menguruskan permohonan pinjaman, dokumen jual beli dan pertukaran hak milik. Lihat langkah jual beli kereta melalui Carzora.
Apa perlu dibuat jika sudah terlibat?
Simpan bukti bayaran, mesej dan perjanjian. Jika anda penjual, hubungi bank untuk menyemak baki, tunggakan dan pilihan penyelesaian. Jika anda pembeli, minta penjual mendapatkan pengesahan terus daripada bank. Dapatkan nasihat guaman jika timbul pertikaian tentang kereta atau wang yang sudah dibayar.